skmenengah-tile

SEK. MEN. KEB. LKTP TERSANG

Sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa menghantar anak mereka ke alam persekolahan menengah. Hal ini demikian kerana SMK LKTP Tersang merupakan satu-satunya sekolah menengah yang berhampiran. Selain itu, ada juga sekolah-sekolah di bandar Raub dan Felda Sungai Koyan. Namun ibu bapa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menampung kehidupan anak-anak yang perlu tinggal di asrama dan membayar tambang bas sekolah setiap hari.

Pada tahun 1993, pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah sekolah di kawasan tersebut.Bermula 3 Jun 1993, kerja-kerja pembersihan, pengukuran dan penyediaan tapak dilakukan.Dalam masa setahun setengah,sebahagian bangunan utama Sekolah Menengah Kebangsaan ( LKTP ) Tersang siap dibina. Walaupun sebahagian kecil bangunan sekolah masih belum siap sepenuhnya,pengambilan pelajar perintis bagi sesi persekolahan 1993/1994 telah dibuat lebih awal iaitu pada 1 Disember 1993 atas desakan daripada ibu bapa.

Bangunan SMK (LKTP) Tersang siap dibina sepenuhnya pada 6 April 1994. Hal ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah bagi penduduk daerah Raub amnya dan peneroka di Felda Tersang khususnya. Dengan terbinanya bangunan ini, anak-anak peneroka tidak perlu lagi bersusah payah menunggu bas setiap pagi untuk ke sekolah yang terletak di Felda Sungai Koyan. Segala kos perbelanjaan pembinaan bangunan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 5.615 juta.